Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image

Secubit Garam, Secawan Manisan

  • Thursday, December 23, 2010
  • Ibn Kassim As-Shafie
  • Label : ,
  • Alhamdulillah dapat juga saya siapkan cerpen yang tidaklah seberapa selepas berhempas pulas menyiapkan pada pagi ini. Cerpen ini saya dapat idea selepas membaca post seorang akhwat yang menceritakan tentang jasa para pendidik beliau. Syukran keatas beliau.
    Cerpen bersiri 'Impak' buat masa ini berhenti seketika dan akan bersambung pada masa akan datang insyaAllah. Cerpen ini adalah yang terakhir sehingga saya tamat kursus Jatidiri tersebut.

    Secubit Garam, Secawan Manisan

    ~Sedikit ujian mengandungi hikmah yang besar~

    Pagi itu udara sungguh segar dan nyaman. Suhunya pula seakan terlalu rendah, tidak hairanlah kalau ada yang berjogging pagi-pagi begini memakai sweater. Kesejukan pagi ini sentiasa memeluk erat tubuhku ketika aku ke sekolah. Aku akan mula keluar rumah dan berbasikal ke sekolah ketika telunjuk jam berarah tepat pada nombor tujuh. Ya, 7.00 pagi.

    “Mak, Amirul pergi dulu yer.” Aku meminta restu ibuku setiap kali hendak ke sekolah.

    “Okey, jaga akhlak kamu.” Nasihat yang acap kali ku dengar dicorong telingaku. Namun aku tidak pernah sedikit pun rasa bosan. Mungkin aku ini anak yang soleh, hehe. Getus hati kecilku.

    **********

    “Amirul..! Kenapa result trial kamu teruk sangat?!! Orang lain semua ada lah juga 2-3 A. Kamu?!! Satu A pun tak dak!” Cikgu Sya melenting ke arahku ketika aku menghantar buku latihan yang telah dikutip ketua kelas. Ketika ini semua mata tertumpu pada aku yang tercegat di hadapan pintu bilik guru menahan malu. Maruah aku seakan sedang disentap kuat dengan kata-kata yang bagiku tidak patut dizahirkan oleh seseorang guru.

    Aku hanya tunduk diam menahan malu. Diam lebih baik dari berkata-kata. Ya, baru aku ingati hadis Rasulullah itu.

    “ Kamu nie nak belajar ke tak nak. Kalau tak nak, lagi baik berhenti belajar. Pergi kerja dengan tukang kebun yang dungu tu. Buat apa belajar kalau dah kepala otak tu tak boleh nak terima dah. Belajar pun BODOH macam tu jugak.” Kini kata-kata Cikgu Sya semakin panas dan pedih. Bukan sahaja aku yang dikatakannya, malah tukang kebun yang banyak membantu dalam membersihkan dan mengindahkan sekolah supaya timbul suasana belajar juga dikaitkannya. Meskipun mereka tidak terpelajar namun sumbangan mereka juga amat besar dalam menyediakan suasana yang indah dan bersih. Inikan pula digelarkan mereka dungu.

    Cukup panas anak telingaku yang sedang mendengar kutukan itu. Hatiku terasa amat pedih dihiris kasar oleh ketajaman bicara Cikgu Sya. Rasa hormatku kepadanya kian kini kian menipis.

    “Cikgu, setiap manusia ada nilai dia tersendiri. Cikgu tak berhak nak kata dan menghukum saya dan tukang kebun tu sebegitu rupa. Setiap manusia tidak akan lari dari kesilapan. Bohonglah cikgu kalau tiada orang yang tidak pernah melakukan kesilapan. Man laa yukhti’u laa yaf ‘alu syai’..!!” tidak semena-mena aku bertindak refleks membidas kata-kata kasar cikguku itu. Aku sendiri terkejut dengan tindakan ku itu. Semua orang di dalam bilik guru terdiam memandangku. Aku menyegerakan diri untuk pergi dari situ.

    **********

    Proses pengajaran dan pembelajaran berakhir pada tengah hari itu. Namun kosong. Ternyata kosong jiwaku sepanjang hari tersebut. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Segala ilmu pada hari itu laksana angin. Walaupun dipekup beberapa kali, tetap terasa kosong.

    Tengah hari itu ketika semua pelajar pulang, aku masih lagi berteleku di hadapan mejaku di dalam kelas. Aku masih lagi rungsing memikirkan hal demikian yang memalukan dan menyakitkan.

    Nafsuku sentiasa mengatakan bahawa tindakan aku tadi terlalu ringan, tiada apa yang perlu dikisahkan. Kalau boleh biarlah syadid sikit. Bagi panas balik hati cikgu tu. Tidak adil lah Cuma sebelah pihak sahaja yang sengsara. Namun hati kecilku pula berbisik, hormatilah seseorang itu walaupun dia hanya mengajarmu sepatah ayat. Kerana bagi mereka guru-guru hampir-hampir menjadi seorang rasul.

    “Amirul, ana faham apa perasaan enta. Biasalah tu, cikgu itu pun kan manusia juga. Tentu juga akan melakukan kesalahan.”

    Kedengaran satu suara dari arah pintu belakang. Suara itu cukup aku kenali. Suara itu lah yang sering menasihati dan memotivasi diriku dikala aku jatuh. Kata-katanya kali ini kembali mengingatkan aku. Aku betul-betul tersentak dengan kata-katanya.

    ‘Cikgu itu pun manusia. Tentu juga akan melakukan kesalahan

    Kemudian aku kembali mengingati kata-kata yang telah aku lontarkan kepada Cikgu Sya sebagai serangan balas pada pagi tadi.

    Setiap manusia tidak akan lari dari kesilapan. Bohonglah cikgu kalau tiada orang yang tidak pernah melakukan kesilapan. Man laa yukhti’u laa yaf ‘alu syai’

    Ya, cikgu pun manusia. Tentu saja akan melakukan kesalahan.

    “Tapi mengapa harus saya dan tukang kebun yang tidak semena-mena itu yang menjadi mangsa kesilapan cikgu.” Rungutku kepada Ustaz Adam yang masih tersandar dibahu pintu belakang kelas dengan senyuman manis yang tidak pernah lekang dari bibirnya.

    “Amirul, ketahuilah setiap perkara atau ujian yang melanda diri kita itu terkandung di dalamnya hikmah. Hikmah ini hanya dapat dilihat pada orang yang melihat pada sudut atau pandangan yang berlainan dari orang lain.” Jelas Ustaz Adam dengan tenang.

    Memang tidak dapat disangkal, setiap kata-kata atau nasihat Ustaz Adam amat mudah untuk diresapi dalam jiwaku. Aku amat senang dengan Ustaz Adam. Rata-rata ustaz dan cikgu yang ada di sekolah ini, Ustaz Adam lah yang paling rapat dengan ku.

    “Sudut yang berlainan? Macam mana itu Ustaz.” Aku semakin terbuka dan sedikit tenang.

    “Sudut yang berlainan tu maksudnya lebih kurang Husnu Zhon lah. Bersangka baik. Dalam erti kata lain, think positive.” Terang Ustaz sambil memandang keluar.

    “Contohnya cuba kamu lihat di situ.” Ustaz Adam menunjukkan jarinya ke arah seekor kucing yang sedang menggigit tengkok anaknya.

    “Ish, kenapa kucing itu gigit tengkok anaknya ustaz. Zalim betul.” Keluh aku yang hidup baru setahun jagung.

    “Tidak Amirul. Itu lah yang Ustaz cuba katakan. Cuba berfikir pada sudut yang kedua, sudut positif. Anak kucing itu dilakukan sedemikian untuk dilindungi oleh ibunya dari serangan haiwan lain.Tetapi jika kita tidak tahu pun tentang itu, cukuplah sekadar percaya yang sesuatu perkara itu pasti ada hikmahnya.” Ustaz Adam mejelaskan satu persatu.

    “Amirul, enta perlu hidup dalam dunia yang bersyukur. Bersyukurlah kepada mereka yang menyakiti enta, kerana merekalah yang menguatkan dan menabahkan hati enta. Bersyukurlah kepada mereka yang menyeksa atau memperilakukan enta, kerana mereka lah yang menguji tahap kesabaran enta.” Ustaz Adam member input tambahan yang amat bermakna bagiku.

    Kini barulah aku faham. Tiada siapa yang bersalah dalam hal ini kerana manusia memang tidak akan lari dari kesilapan dan mereka berhak untuk mendapat peluang kedua untuk berubah. Aku tidak boleh terus menghukum Cikgu Sya sedemikian rupa kerana dia juga manusia, malahan saudara seIslam. Tidak akan sempurna iman seseorang itu jika dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri.

    Sesekali perlu juga ujian sebegini untuk menguji imanku dan menabahkan hatiku serta menajamkan lagi keimanan ku. Janganlah kamu mengaku beriman selagi mana belum diuji.

    “Dosa kita dengan Allah mudah untuk diampunkan kerana Allah itu Maha pengampun kecuali dosa syirik. Tetapi dosa kita dengan manusia hanya boleh terhapus jika dimaafkan oleh manusia itu sendiri.” Tambah ustaz setelah beberapa ketika membisu.

    Aku faham maksud ustaz. Dia ingin aku yang terlebih dahulu meminta maaf dari Cikgu Sya.

    Tengah hari itu aku pulang dengan sedikit senyuman terukir selepas bersalaman dengan Ustaz Adam. Aku tekad untuk meminta maaf daripada Cikgu Sya esok pagi dan berjanji akan lebih tekun belajar untuk memburu kejayaan. InsyaAllah.

    p/s: Kisah ini tiada kaitan dengan yang hidup ataupun yang mati. Hanya watak Ustaz Adam yang diambil berdasarkan perwatakan beliau ketika mengajar di sekolah penulis. Ustaz Adam memang seorang yang ceria dan mudah untuk berbincang untuk membuat perancangan. Penulis amat rapat dengan beliau ketika beliau mengajar di sini. Moga Allah merahmati Ustaz Adam dan keluarga.

    MS-17

    0930, 18 MUHARRAM 1432

    ALOR SETAR, KEDAH

    0 komentar:

    bloggermuslim