Salam...
Terasa gatal pula untuk mempost cerpen yang penulis terima daripada Group Karyawan Luar Negara(GKLN). Cerpen ini dihantar oleh salah seorang ahli GKLN untuk disemak oleh semua ahli GKLN. Cerpen ini diterima pada hari Jumaat lepas. Kalau tidak keberatan silalah baca.
Maaf abang, kami tak benci abang, tetapi kami tak faham abang.Abang-abang tingkatan 5 yang lain, semua cakap abang ini gila kuasa, tak kenang kawan.
Mereka suruh kami ponteng usrah abang semalam. Kami tak nak, tapi abang-abang yang lain ugut.
Mu'tasim terkedu membaca surat itu di hujung penjuru beranda depan musolla. Dia tidak menyangka akan diperlakukan sehingga begini oleh kawan-kawannya.
Kawan? dia pun tidak pasti apa yang boleh digelarkan untuk mereka. Dia sayangkan kawan-kawannya, sebab itu dia buat apa-apa yang dia patut buat.
Tetapi, kawan-kawannya tidak faham, dan jauh lagi hendak memahami. Lumrah, manusia memusuhi apa-apa yang tidak difahami.
Mu'tasim menggeleng. Dia menyeka air mata yang bergenang di kelopak matanya.
Kawan-kawannya boleh memulaukan dia. Boleh mencerca dia. Tetapi tolong, jangan usik usrah dia.
kerana usrah itulah jalan yang dia boleh berkongsi tanpa sebarang campur tangan peraturan... mencurahkan kasih dan rasa dihargai. Selaku ketua BADAR (Badan Dakwah dan Akhlak Remaja) di sekolahnya, Mu'tasim cuba sedaya-upaya menunjukkan bagaimana usrah harus diperlakukan: Bukan sekadar pengisian bahan, tetapi jua ikatan perasaan. Kerana manusia bukan robot, yang boleh menurut tanpa rasa dan banyak bicara!
Namun, semalam Mu'tasim dikecewakan. Kecewa bagai tiada penghujung, kerana ahli usrahnya, tiada seorang pun yang muncul! Setengah jam dia menunggu, dan dia isi dengan membaca Al-Quran, namun masih tiada kelibat ahli usrahnya. Dia menoleh dan melihat kawan-kawannya tersenyum sinis kepadanya. Mu'tasim tidak mahu bersangka buruk, maka dia membalas senyuman itu.. dan sebaik sahaja dia menatap Al-Qurannya semula, deruan ketawa kecil kedengaran bagai mengejek-ejek Mu'tasim.
Badannya menggigil, menahan sedih, kecewa, marah. Namun dikuatkan jiwanya, menahan segala rasa agar bara emosi tidak mencemari jernih rasionalnya. Air matanya mula menitis, jatuh bertitip-titip membasahi muka surat naskhah Al-Qurannya.
Namun, Mu'tasim tidak menyimpan dendam kepada adik-adik usrahnya. Sebaik sahaja solat isya', dia pergi ke koperasi dan membeli 8 calciyum untuk membelanja adik-adik ahli usrahnya. Kemudian, dia meminta tolong seorang junior untuk menyampaikan kepada ahli usrahnya.
fa'fu wasfahu.. maafkanlah dan berlapang dada.
Itu hal semalam, namun, selepas subuh tadi, Azmirul, junior tingkatan 4 yang merupakan ahli usrahnya menghampiri Mu'tasim. Takut-takut, namun, mujur di beranda itu tiada sesiapa. Mu'tasim melemparkan senyuman dan dibalas Azmirul. Tanpa bercakap banyak, Azmirul menghulurkan kertas kajang yang dilipat 8, sambil berbisik, "terima kasih ye bang. Calciyum semalam."
Selepas membaca surat tersebut, Mu'tasim melemparkan pandangannya ke sebalik jeriji kayu yang memagari beranda. Dia mengeluh berat. Angin sejuk bertiup, kicauan burung mengiringi simfoni alam itu, daun-daun pilu berbisik menambah alunan. Namun, hal alam itu pun tidak mampu menenteramkan gelojak jiwa Mu'tasim.
Dia tidak faham, kenapa dia diperlakukan sebegini? Dia menjerit memanggil turun untuk solat berjemaah kerana sayangkan kawan-kawannya. Tetapi disalahertikan dia gila kuasa.
Dia kejutkan awal untuk solat subuh agar mereka tidak dirotan ustaz, namun disalahertikan dia tunjuk alim.
Dia buat solat subuh awal agar kawan-kawannya punya lebih masa untuk bersiap ke sekolah namun disalahertikan yang dia sengaja berbuat demikian agar lebih ramai yang akan dirotan kerana masbuk.
Dia membaca surah yang panjang ketika rakaat pertama agar mereka sempat jadi makmum
muafiq, tetapi disalahertikan bahawa dia tunjuk hebat.
Dia laporkan ustaz tempat lepak kawan-kawannya ketika usrah agar mereka hadirkan diri, memberi komitmen dalam mencari Redha Allah, tetapi dituduh sengaja mencari kesalahan.
Ya, semua itu disalahertikan oleh kawan-kawannya. Mujur, bukan semua kawan-kawannya. Ada segelintir juga dalam kalangan Pemimpin Pelajar Tingkatan 5 yang memberi sokongan moral dan fizikal kepada Mu'tasim dan juga AJK BADAR. Namun, mereka tidak dibenci oleh kawan-kawan tingkatan 5 yang lain seperti mana mereka membenci Mu'tasim. Tentu, jauh sekali, Mu'tasim mahu rakan-rakannya yang setia bersamanya dibenci sepertinya. Jadi, mesti ada kekurangan dalam dirinya, Mu'tasim akur. Dan Mu'tasim memohon ampun kepada Allah atas cela yang dibawa dalam menyampaikan agama yang suci ini.
Yang paling Mu'tasim terkilan ialah Iqbal. Rakan baik, atau bekas rakan baiknya, mungkin. Iqbal sepatutnya menjadi ahli usrah Mu'tasim namun, dia tidak pernah hadir. Suatu hari, Iqbal dirotan di hadapan semua pelajar putera gara-gara ponteng usrah - dan sejak itu, kebencian Iqbal menjadi-jadi. Ada sahaja yang dipertikaikan, disalahertikan. Dan ramai pula yang mengikut Iqbal.
Dari 8 bertukar 7 ahli usrah Mu'tasim. Namun, dia akur, itu pencaturan Ilahi, ada hikmah yang bakal menyusul.
Mu'tasim bangkit, ingin menunaikan solat Dhuha. Tiba-tiba, satu suara memanggilnya. Mu'tasim menoleh.
Iqbal!
Mu'tasim membuka mulut,"Bal, izinkan aku solat dulu, lepas itu kau nak cakap apa, cakaplah.."
Iqbal menghulurkan tangan, sambil menggelengkan kepala, "kejap Sim, aku nak cakap sikit. Aku nak minta maaf,"
Terkedu Mu'tasim sebentar, "untuk apa?" balasnya ringkas.
"untuk apa-apa yang aku buat untuk sakitkan hati kau. Aku minta maaf banyak-banyak, benda itu salah... cuma, aku ikutkan sangat syaitan, Sim. Semalam aku yang suruh budak-budak tu jangan datang usrah." Jelas Iqbal, sambil tangannya diselukkan ke dalam saku.
"Tak pelah, yang dah lepas, lepas je la..." Mu'tasim balas ringkas. "Jom, solat dhuha," Mu'tasim mengajak.
"Jom, biar aku ambil wudhu' dulu," Iqbal bergegas mendapatkan wudhu', kemudian dia menoleh kembali, "By the way, terima kasih Calciyum semalam,"
Mu'tasim terpinga-pinga, oh Calciyum!Semalam dia terbeli 8, selalunya dia hanya mengehadkan kepada tujuh, kerana dia sering beranggapan Iqbal mungkin tak berminat.
Dan Mu'tasim salah! namun dia gembira dengan kesalahannya itu.
Sesungguhnya Allah ada cara tersendiri untuk mendedahkan rahmatnya... walau hanya dengan Calciyum!
"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib"
Fussilat:34
p/s: situasi di atas hampir sama seperti di sekolah penulis.
wallahu'alam..
1215, 16 Syawal 1431
ISC MMY, Yan, Kedah.